Selasa, 11 November 2008

0

Tanaman Kenaf Bakal Menganti tembakau

Ketika masa depan tanaman tembakau semakin gelap, kenaf dilihat sebagai komoditi paling berpotensi hari ini.

MANFAAT kenaf selaku bahan yang kaya dengan fiber dan mampu menjadi bahan asas dalam pembuatan biokomposit menyebabkan permintaan terhadap tumbuhan yang berasal dari Afrika ini melonjak tinggi.

Melihat potensi besar itu, kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L dijangka akan menjadi tanaman alternatif menggantikan tembakau tidak lama lagi.

Ini berikutan lebih 5,000 penanam tembakau di negara ini dijangka terjejas teruk apabila Kawalan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dikuatkuasa menjelang tahun 2010.

Di bawah AFTA, akan berlaku penurunan harga dan pengurangan duti import tembakau. Kenaf ialah sejenis pokok tropika yang menghasilkan fiber menyerupai jut dan kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan tali dan tekstil.

Kenaf boleh dituai hasilnya selepas 120 hari dan kitaran penanamannya ialah tiga kali setahun.

Pengerusi Lembaga Tembakau Negara, Datuk Mohd Zain Ismail berkata, petani yang mempelopori projek tanaman kenaf di Kelantan membuktikan bahawa tanaman tersebut efektif untuk menggantikan tembakau yang kurang kompetitif dalam industri perladangan.

Beliau berkata, Malaysia akan mengeksport 50,000 tan metrik kenaf setahun dengan nilai RM15 bilion mulai tahun depan.

"Ini akan menjadikan kenaf sebagai komoditi utama negara menjelang tahun 2010," katanya sambil menambah bahawa Korea akan menjadi negara pengimport pertama dari Malaysia yang berjumlah 50,000 tan metrik setahun.



Beliau berkata, pada peringkat pertama penanaman, sebanyak 1,000 hektar kenaf akan dilaksanakan termasuk 700 hektar di Kelantan.

Dalam RMK-9, peruntukan awal Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi pembangunan kenaf menerusi Lembaga Tembakau Negara (LTN) ialah RM10 juta. Jumlah itu dinaikkan kepada RM35 juta dalam semakan separuh penggal RMK-9 baru-baru ini.

Di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira 10,000 hektar. Berdasarkan pelan ECER, industri kenaf dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan penanaman tembakau di Bachok, Pasir Puteh, Besut, Setiu dan Marang.

Sementara itu, Ketua Unit Kenaf Lembaga Tembakau Negara (LTN) Kelantan, Aizwan Azmi berkata, dengan harga kenaf semasa RM500 setan metrik, penanam kenaf mampu memperoleh pendapatan lumayan dengan hasil 15 tan metrik sehektar yang mampu membebaskan petani dari belenggu kemiskinan.

Katanya, hasil peningkatan projek kenaf, dua kilang memproses dibina sebagai memenuhi keperluan iaitu di Air Tawar, Pasir Puteh dan di Beris Lalang, Bachok yang melibatkan peserta projek Diraja Kelantan.

"Kilang yang memuatkan mesin bernilai RM600,000 hasil kepakaran pegawai LTN menerusi teknik inovatif berjaya memproses 10 tan metrik kenaf sehari dalam masa lapan jam bekerja.

"Hasil kenaf yang diproses di Tok Bali dan Beris Lalang ini dieksport ke Jerman dan Korea untuk keperluan pembuatan automotif, pembuatan perabot dan alat elektrik," katanya.


Menurutnya, apa yang pasti, penanam kenaf mula yakin dengan prospek tanaman tersebut dan peningkatan harga dari RM300 kepada RM500 setan metrik memberi jaminan bahawa pendapatan petani akan meningkat.

Tambahan lagi, katanya, Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melibatkan pelaburan RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun, yang turut menjadikan tanaman kenaf sebagai satu daripada sektor pertanian yang akan dibangunkan, dilihat mampu membantu menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan.

Sebelum Kelantan menerima kenaf secara komersial untuk menggantikan tanaman tembakau, Indonesia terlebih dahulu melakukan perubahan itu kerana menyedari potensi kenaf. - Bernama

Ahad, 6 Januari 2008

0

Penternakan Burung Unta Secara Komersil

Burung unta jarang mengeluarkan bunyi, tetapi sesekali ia menjerit, suara lantangnya boleh menyerupai ngauman seekor singa. Berbeza dengan kepercayaan umum, burung ini tidak menyorokkan kepalanya di dalam pasir jika merasa takut sedangkan keseluruhan badan yang lain terdedah. Walau bagaimanapun untuk mengelakkan daripada dikesan, burung unta akan duduk di atas tanah dan kepalanya sahaja yang didongakkan.

Burung unta berasal dari benua Afrika dan tergolong dalam order Ratitae, iaitu burung yang tidak boleh terbang. Burung ini tergolong dalam famili yang sama dengan burung kasuari, emu, rhea dan kiwi. Dalam sejarah perkembangan manusia, burung unta mula diternak secara komersial pada tahun 1860 di Afrika Selatan, dengan matlamat utamanya untuk penghasilan bulu. Setelah mengalami beberapa kali kemerosotan dan pemulihan, pada tahun 1945 industri moden burung unta mula berkembang. Selain bulunya, daging dan kulit merupakan teras utama industri.

Di Malaysia, sebilangan besar burung unta mula diimport pada tahun 1994 dan diternak di ladang. Kini terdapat lebih 35 tempat pemeliharaan burung unta di seluruh negara. Daging burung unta kian popular di kalangan pengguna dan mudah diperoleh terutama di restoran dan hotel ternama.

Burung unta yang wujud pada masa ini hanya satu spesies sahaja iaitu Struthio camelus. Walau bagaimanapun, terdapat empat subspesies yang bertebaran di benua Afrika. Hasil penyelidikan telah mendapatkan satu baka yang sangat berpotensi, iaitu baka Hitam Afrika. Baka ini lebih jinak dan telah dikembangkan sebagai baka komersial kerana kadar pembiakan yang baik dan mempunyai bulu, daging dan kulit yang bermutu tinggi.

Sabtu, 5 Januari 2008

0

Pengeraman Elektronik

Burung unta merupakan haiwan yang berkualiti tinggi untuk dikomersilkan. Pelbagai produk mampu dihasilkan dari burung unta ini.

Namun begitu, proses pembiakan mungkin mengambil masa yang lama. Penetasan secara konvensional agak 'lembab'. Jadi, penetasan elektronik diperlukan untuk menjamin sehingga 70 peratus berjaya. Pengeraman elektronik bukanlah proses untuk mempercepatkan proses penetasan tetapi ia banyak membantu. Ikuti proses penetasan burung unta menggunakan pengeraman elektronik.

0

Minyak Gosok Burung Unta

Burung Unta sememang diketahui mempunyai banyak kegunaan seperti pokok kelapa. Setiap bahagian dari burung unta mampu menghasilkan pelbagai produk hiliran.

Lemak burung unta merangkumi 80 peratus dari keseluruhan tubuh badan burung unta. Ikuti penghasilan produk hiliran seperti minyak dari lemak burung unta.

0

Tepung Ubi Badak

Penghasilan tepung dari ubi badak oleh sekumpulan penyelidik UMT merupakan satu alternatif kepada permintaan tepung gandum. Ikuti penghasilan tepung dari ubi badak.

0

Kebab Ikan Keli

Ikan keli ialah haiwan air tawar yang tahan lasak. Namun, saiz ikan keli yang kecil dan sederhana yang boleh mendapat tawaran di pasaran. Oleh itu, penternak perlu memikirkan produk nilai tambah bagi saiz ikan keli yang besar. Antara produk nilai tambah bagi ikan keli sebelum ini ialah bebola ikan keli, keropok lekor ikan keli, ikan keli bersos tomato dalam tin dan yang terbaru ialah kebab ikan keli. Ikuti proses pembuatannya...

Jumaat, 4 Januari 2008

0

Penghasilan Jus Nenas Secara Komersil

Nenas adalah salah satu tanaman di Malaysia yang boleh dikomersilkan dan mempunyai pelbagai kegunaa. Kulit nenas dikatakan mampu memerap daging agar jadi lebih lembut. Selain itu, kulitnya yang dikisar bersama bahan - bahan lain boleh dijadikan makanan alternatif bagi ternakan seperti kambing dan lembu.

Pengeluaran buah nenas di pasaran di musim kemuncak penuaian akan mengakibatkan lambakan dan mengakibatkan harga akan 'jatuh'. Oleh itu, produk nilai tambah perlu dihasilkan bagi mengawal harganya dipasaran. Salah satunya adalah penghasilan jus nenas secara komersil.

Manakala, sisa bagi penghasilan jus nenas ini boleh dijadikan produk lain seperti jem atau bahan makanan alternatif untuk haiwan seperti arnab dan sebagainya.